Thursday, February 26, 2009

KHURAFAT


Ni entry ke tiga ein berkaitan dengan khurafat iaitu JANGAN PERCAYA BENDA-BENDA KHURAFAT dan LAGI TENTANG KHURAFAT
Khurafat dari segi bahasa bermaksud karut. Dari segi istilah bermaksud kepercayaan karut yang bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah serta bertentangan dengan akal.

Secara mendalam lagi, amalan khurafat melibatkan perbuatan, ungkapan kata, cerita atau kisah, benda seperti batu, kayu atau tanah, bilangan tertentu sesuatu perkara, konsep, prinsip atau aliran fahaman yang dipercayai dan diiktikadkan dengan yakin sebagai boleh mendatangkan kebahagiaan/manfaat ataupun penderitaan atau mudarat kepada seseorang, sedangkan semua itu merupakan sesuatu yang tidak sekali-kali terdapat dalam sumber dan suruhan agama islam yang suci, serta pada waktu yang sama bertentangan pula dengan logik akal yang sihat dan tidak juga bersandarkan reality, kerana itu ia merupakan sesuatu yang batil, yang lansung tidak mengandungi sebarang unsur kebenaran.

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:
“Tidak ada jangkitan (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai).”

Amalan khurafat berkait rapat dengan perkara-perkara ghaib. Setiap kepercayaan, perlakuan diikuti dengan perkara-perkara ghaib. Mempercayai perkara ghaib adalah salah satu perkara yang termasuk di dalam iman. Namun, amalan khurafat ini mengalih pergantungan manusia daripada Allah s.w.t kepada makhluk yang mana menjadi salah satu bentuk penyelewengan dalam aqidah Islam.

Khurafat terbahagi kepada dua iaitu khurafat yang tidak merosakkan akidah seperti dongeng berkaitan dengan budaya dan adat resam, tidak berkaitan dengan ketuhanan. Dan khurafat yang merosakkan akidah iaitu yang melibatkan ibadat dan ketuhanan seperti melibatkan pemujaan, bersemah dan membuang ancak yang akan dihuraikan selepas ini.

Perkara khurafat yang lazimnya masih diamalkan sehingga sekarang antaranya ialah upacara tolak bala pada hari rabu akhir bulan safar yang masih dilakukan di beberapa tempat di Indonesia dengan tujuan untuk menghindarkan bencana alam atau wabak. Mereka beramai-ramai mandi di pantai jangan sampai baju mereka kering. Baju dan badan hendaklah sentiasa basah dengan air.

Kononnya, menurut Modin Pelu, salah satu tokoh agama di Indonesia, amalan ini bermula dengan kisah Rasulullah s.a.w mengalami sakit tenat. Para sahabat diperintahkan untuk menyucikan diri dengan mandi atau berbagai cara yang lain. Kemudian amalan ini dibawa oleh pendakwah Islam ke Indonesia. Oleh kerana itu, amalan ini masih di amalkan oleh mereka di sana. Mereka percaya dengan upacara ini, mereka akan dilindungi. Namun, seperti hadis di atas, tidak adanya bala pada bulan safar. Diakhir upacara-upacara seperti ini, barulah dipanjatkan doa kepada Allah s.w.t untuk memohon keselamatan bagi mereka yang mengikuti upacara tersebut yang dibacakan oleh tokoh agama kawasan tersebut.

Tangkal atau azimat juga merupakan salah satu perkara khurafat yang masih kita amalkan. Tangkal ini mengandungi kesan yang berbeza-beza mengikut keperluan si pemakai seperti pendinding, pelindung diri dari penyakit, makhluk halus dan sebagainya. Kepercayaan bahawa dengan memakai tangkal, mereka akan menjadi kuat dan sebagainya.

Antara lain perkara yang berkaitan tangkal, batu, kayu dan seumpama dengannya ialah kristal yang kononnya dipercayai mempunyai kuasa tertentu. Sememangnya batuan mempunyai khasiat tertentu namun tak bermakna dengan memakainya, si pemakai benar-benar mendapat tuah, di murahkan rezeki yang berkaitan dengan perkara-perara tersebut yang mana tuah atau rezeki dikurniakan oleh Nya kepada hamba-hambaNya. Pernah suatu ketika dulu, satu rangkaian televisen mengeluarkan rancangan mengenai kristal dan menemu ramah salah seorang peminat kristal, Islam. Si peminat kristal pun tunjukkanlah koleksi kristal miliknya dan berkata kristal tersebut memang mujarab. Setelah memakai kristal tuah, rezekinya bertambah murah. Betapa percayanya dia bahawa rezekinya bertambah kerana kristal yang sebenarnya satu perantaraan, satu ciptaan dari Nya untuk menguji hambaNya. Yang mana tanpa izinnya, kristal itu hanyalah batuan biasa yang datangnya dari perut bumi. Namun dari segi kesihatan, ada benarnya kajian saintifik mengatakan boleh mengubati beberapa jenis penyakit sama seperti bahan-bahan seperti daun-daun herba dan ubat-ubatan. Tapi diingatkan jangan sehingga menimbulkan cirri-ciri khurafat dan mengalihkan pergantungan dari Nya.

Begitu juga dengan kepercayaan keramat. Beranggapan bahawa sesetengah kubur itu keramat. Memuja kubur keramat untuk berbagai jenis permintaan. Tidak masuk akal bahawa kubur tersebut mampu menunaikan permintaan si pemohon.

Antara lain perkara khurafat yang sering diturunkan kepada generasi muda ialah, tidak boleh mengambil gambar bertiga. Tak baik kata orang dulu-dulu. Itu satu kepantangan bagi orang-orang dulu namun khurafat sebenarnya. Kononnya, salah seorang akan mati. Contoh khurafat yang melibatkan kematian ialah, bunyi burung hantu yang memberi petanda ada antara orang di kawasan itu yang akan mati. Dan baru-baru ini saya pernah mendengar orang berkata, tiap satu kawasan, bila seorang mati maka dua lagi akan menyusul dan menjadikannya cukup 3orang. Ini juga perkara khurafat yang berkaitan dengan bilangan.

Adat istiadat seperti membuang ancak, bersemah, lenggang perut masih terus dijalankan. Bersemah ialah satu upacara memberi sajian kepada makhluk-makhluk halus. Biasanya untuk persembahan atau kenduri. Upacara dilakukan sebagai usaha untuk mendapatkan keselamatan mereka yang terlibat dengan persembahan juga orang yang berkunjung. Upacara penting dalam amalan bersemah ialah memberi sajian kepada makhluk-makhluk halus. Hidangan yang disajikan di antaranya ialah ayam panggang, kuih-muih dan sebagainya. Dengan dilakukan demikian, makhluk-makhluk ini diharapkan tidak akan mengganggu manusia, upacara memberi makan makhluk-makhluk itu ada kalanya juga dilakukan setelah sesuatu persembahan atau kenduri selamat dilakukan sebagai tanda berterima kasih.

Membuang ancak pula adalah dari segi perubatan orang dulu-dulu. Berkaitan juga dengan perbomohan. Dalam pengubatan ini bomoh akan memberitahu bahawa si pesakit "terkena" itu dan ini, ditempat itu dan ini. Timbul dari penyakit itu, keluarga pesakit akan diminta menyediakan "ancak" untuk diberi makan "hantu". Bila hantu sudah dapat makan, penyakit yang dihidapi oleh pesakit tadi akan sembuh.
Cara beri makan "hantu" itu ialah dengan melepaskan "ancak" tadi ke dalam sungai. "Ancak" itu dibuat dari pelepah pokok pinang iaitu "upeh". "Upeh" ini dibentuk menjadi empat segi. Ia merupakan seperti bakul. Di dalamnya diletakkan berteh, 2 biji pisang, dan 2 biji telur. Sebiji telur itu mesti direbus. Keempat-empat penjuru "ancak" tadi dipasang 4 batang lilin. "Ancak" itu kemudian dibawa ke sungai untuk dihanyutkan. Biasanya keluarga pesakit tadi akan mencari seorang pemuda yang berani dan cekal hatinya untuk membawa "ancak" itu dari rumah ke sungai untuk dihanyutkan. Selain dari "hantu" sungai, ada bomoh yang mahu supaya diberi makan "hantu hutan" ataupun di bawah pokok besar. Cara ini pula disebut membuang "ancak" didarat. Makanan yang disediakan berlainan dari apa yang dibuang di sungai. "Ancak" didarat menyediakan makanan yang lebih hebat, iaitu pulut kuning rendang daging atau ayam, telur dadar dan pisang. "Ancak" di darat saiznya agak besar sedikit. Seseorang akan ditugaslkan untuk meletakkan makanan tadi di pokok besar atau di mana saja menurut arahan bomoh tadi. Bila makanan tadi diletakkan di bawah pokok tersebut, maka si penghantar akan pulang memberitahu keluarga si sakit.

Perkara berkaitan dengan kucing hitam, amalan-amalan tertentu orang-orang dulu yang menjadikan jin, makhluk sebagai perantaraan, pemujaan dan sebagainya adalah kepercayaan khurafat. Kebanyakkan pantang larang orang-orang dulu juga bersifat khurafat semata-mata. Setiap perkara yang menyamai definisi khurafat, yang mengalihkan pergantungan terhadap Allah, kepercayaan yang kuat pada sesuatu benda seperti tangkal, kristal, pokok, pemujaan, semuanya termasuk dalam perkara khurafat.

Khurafat menghampiri kepada syirik. Beza khurafat dan syirik ialah, mereka yang mengamalkan perkara khurafat tetap percaya kepada amalan-amalan lain, kepercayaan-kepercayaan lain yang mana mengalih pergantungan selain dari Allah. Syirik pula ialah menyekutukan Allah s.w.t dengan makhluk. Yang mana terbahagi kepada Syirik Jali (nyata) dan Syirik Khafi (tersembunyi). Contoh syirik jali ialah menyembah berhala, tenung nasib, percaya kepada kuasa lain selain Allah. Percaya kepada kuasa lain selain Allah bermaksud, percaya bahawa Jin atau makhluk mempunyai kuasa sama seperti Khalik atau melebihi Khalik sedangkan ia hanyalah makhluk ciptaan Allah. Yang mana berlakunya sesuatu hanya dengan izin Nya. Manakala syirik khafi ialah percaya pada tangkal yang mana termasuk juga dalam perkara khurafat, ujub, riak dan takbur.

Wallahu'alam

P/S: Maaf jika ada kesilapan. Sesungguhnya yang buruk itu dari ein dan yang baiknya dari Allah s.w.t. Untuk mengetahui lebih lagi tentang khurafat klik Khurafat Antara Dua Dimensi Konservatif Dan Kontemporari oleh Professor Zakaria Stapa. Professor Tasawuf dan Pemikiran Islam. Dekan Fakulti Pengajian Islam, UKM.

2 comments:

Anonymous said...

Maaf nak pinjam sikit buat rujukan

MOHAMAD SAPRI DOLLAH said...

Sy pon nk pinjam