Monday, March 24, 2008

Anak vs Ibu

Assalamualaikum...
Ini lagi satu perkara yang ein nak kemukakan...
Hubungan anak dan ibu...

Ada banyak sunnah nabi yang mengutamakan seorang ibu bagi seorang anak. Antaranya:

Aljannatu tahta aqdaamil ummahati
Syurga itu dibawah telapak kaki ibu
(HR Ahmad)

Bahz bin Hakim dari ayahnya dari neneknya berkata: Saya tanya pada nabi s.a.w:
Ya Rasulullah siapakah yang harus saya taati? Jawab Nabi s.a.w: Ibumu. Kemudian siapakah? Jawabnya: Ibumu. Kemudian siapakah? Jawabnya: Ibumu. Kemudian siapakah? Jawab Nabi s.a.w: Ayahmu. Kemudian yang terdekat dan yang dekat dari kerabat.
(Tanbihul Ghafilin)

Akhir-akhir ni banyak cerita-cerita drama melayu yang mengisahkan tentang anak-anak derhaka. Kita tengok, namun setakat mana kita sedar dan ambil pegajaran? Kita insaf dan sedih, namun lepas bangun tidur, kita lupa. Dah tak berkesan di dalam hati.

Tergerak hati ein untuk bercerita tentang hamba Allah ini. Namanya biarlah dirahsiakan untuk melindung dirinya dari aib. Hamba Allah ini (perempuan) tinggal bersama ibunya yang sudah tua, berusia 77 tahun. Manakala hamba Allah ini berusia 47 tahun. Dari kecil hingga berusia 47 tahun dia tinggal bersama ibunya.

Kebiasaannya pagi-pagi, sebaik bangun, dia akan mengemas rumah. Pembersih orangnya. Walaupun tergolong dalam golongan orang kurang upaya, dia masih mampu melakukan semua kerja rumah. Sementara ibunya hanya memasak untuk penghuni rumah tersebut.

Tapi apa yang kurang menyenangkan, dia suka berleter. Memang leterannya betul. Dia penat mengemas. Ibunya pula lepas masak, basuh pinggan dan apa saja yang dilakukan, kurang sempurna. Maklumlah sudah tua. Pinggan tidak disimpan dengan betul. Lepas masak tak dikemas semula. Timbul la rasa panas hati dalam diri si anak. Si ibu terpaksa makan semua leteran si anak. Setiap hari begitu. Sebaik saja penyapu di tangan, si anak akan mula berleter. Pendek kata, susah hendak lihat si anak berwajah manis pagi-pagi hari.

Mereka ada membela kucing. Kebanyakkannya kucing yang orang buang, datang minta belas kasihan, minta diberi makan. Lebih dari 10ekor kesemuanya. Si ibu memang sangat kasihkan kucing kerana kucing kesayangan nabi. Tapi kucing itu semua bawa masalah pada mereka. Penat di beri makan, dibalasnya najis merata-rata. Bermacam-macam cara telah dibuat. Namun kucing itu masih membuang najis merata-rata tempat.

Si anak yang pembersih dan suka berleter, makin galaklah berleter. Sudah berapa kali kata hendak buang kucing-kucing tersebut. Tapi setiap kali itu juga, berakhir dengan pergaduhan. Si ibu tidak mahu buang kucing-kucing itu. Makin hari si ibu tidak tahan dengan leteran si anak. Di pendam di dalam hati. Terkadang terdengar sumpah seranah si ibu pada si anak dalam diam. Astaghfirullah hal aziem.

Sehinggalah si anak di masukkan ke dalam wad kerana kuman yang ada pada najis binatang itu. Badan si ibu dan si anak juga merah-merah dan gatal-gatal akibat kuman kucing seperti yang dikata oleh doktor. Anak cucu juga tak mahu balik kerana busuk kata mereka dan takut mendapat penyakit. Anak-anak si ibu yang lain cuba menasihati si ibu. Namun si ibu tidak ambil kisah. Si ibu mengatakan bahawa bukan kerana kucing si anak di masukkan ke wad, dah Tuhan nak bagi sakit.

Laillahaillallah...
Sampai begitu sekali. Mungkin si ibu rela kehilangan anak dari kehilangan kucing. Si anak terus-terusan berleter setiap hari sehingga satu hari si ibu terlepas kata. Mungkin kerana selama ini si ibu telah banyak memendam perasaan, kerana tak tahan dengan leteran si anak, akhirnya terlepas juga satu ayat dari mulutnya. SIAL PUNYA ORANG!

Astaghfirullah...
Tersentak si anak. Makin galaklah si anak berleter, marah-marah sambil menahan air mata. Ayat yang selama ini tersemat kukuh di dalam hati si ibu, akhirnya memecah keluar melalui lisannya.

Melalui cerita ini, ein nak anda semua berfikir dan masukkan diri anda dalam situasi kedua-dua watak ini.

Si anak:
Silap si anak, dia lupa itu adalah ibunya yang selayaknya dia hormati. Walaupun leterannya betul, namun itu tetap seorang ibu. Walaupun seorang ibu itu zalim sekali pun, sewajarnya kita hormati. Pernahkah dengar kisah seorang lelaki yang memelihara ibu bapanya yang telah menjadi seekor khinzir?

Leterannya mengguris sekeping hati tua. Dengan usia lanjut seperti itu, hati mdah terguris. Dan haruslah difahami, apabila sudah tua, ingatan berkurangan. Masakan si ibu dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.
Buat sajalah mengikut kehendak anda. Jika si ibu buat salah, jangan di marah, jangan dileter. Apa salahnya anda betulkan kesilapan si ibu tanpa mengguris perasaannya. Tanpa sedar, anda tergolong dalam golongan anak yang derhaka. Serta, mendapat laknat dari si ibu sekali gus laknat dari Allah s.w.t. jangan lupa, redha ibubapa adalah redha Allah.

Keredhaan Allah (terhadap hambaNya) tergantung pada keredhaan ibu bapanya, dan kutukan Allah itu bergantung juga pada kutukan kedua ibubapanya.
(HR Tarmizi)

Bukan pada ibu saja, bagi yang sudah berumahtangga, janganlah berleter pada suami. Suami sewajarnya dihormati. Redha suami menjamin kebahagiaan anda di akhirat kelak. Zaman ini terlalu ramai isteri yang suka berleter pada suami.

Si ibu:
Jangan lupa, anak adalah anugerah Allah. Sewajarnya dikasihi. Seburuk mana si anak, jangan sesekali dibenci. Kerana kebiasaannya, anak yang dibencilah anak yang akan menjaga anda bila tidak berdaya kelak.

Memang kucing kesayangan nabi. Namun jika sampai memudaratkan kesihatan seisi rumah, lebih baik dilepaskan saja. Untuk apa mempertahankan kucing sedangkan kebajikkan dan kebahagiaan seisi keluarga tergugat sehingga menimbulkan pergaduhan.

Yang teramat penting untuk si ibu, janganlah menyimpan perasaan yang buruk terhadap anak. Jangan disumpah seranah si anak walau seburuk mana pun. Kata-kata seorang ibu ibarat doa. Jangan disalah gunakan kurniaan Tuhan itu. Malah, kejayaan dan kegagalan anak dalam hidup juga bergantung pada ibu. Setakat mana redha seorang ibu pada setiap kelakuan, pergerakkan dan kehidupan si anak.

Kesimpulannya:
Mungkin si ibu dan si anak kurang pengetahuan agama. Namun setiap manusia ada sifat kemanusiaan. Di berikan akal untuk berfikir. Jadi gunakanlah akal untuk berfikir baik buruknya perbuatan itu.

Mahukah si anak menjadi si Tanggang atau Malin Kundang?
Sampaikah hati si ibu melihat si anak menjadi 2watak itu?

Jangan dah terantuk baru nak terngadah...waktu itu, tidak guna lagi sesalan...janganlah yang buruk di simpan di hati...biarkanlah perasaan itu berlalu pergi...

P/S: Cuba baiki diri. Masih belum layak menjadi anak solehah. Ein amat-amat berterima kasih pada seseorang. Dia antara asbab, mak berubah sikap dan hubungan kami lebih rapat. Syukran.

No comments: