Salam maulidur rasul...selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w
Khutbah berupa wasiat ini disampaikan pada tanggal 9 Zulhijjah Tahun ke 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah, Mekah.
“Wahai (sekalian) manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku sampaikan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang telah diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makanan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini; sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari semalam, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikan lah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah “ibadah Haji” sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah bersaudara. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari(nanti) untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu telah kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnah ku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kata ku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah ya Allah, bahwasanya aku telah sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba Mu.”
Wednesday, March 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment