Thursday, March 6, 2008

Kabel? Dengan izin Allah s.w.t

Assalamualaikum wbt. Tiba-tiba terasa macam nak kongsi satu reality dengan kawan-kawan semua. Tentang kabel. Kabel apa agaknya yang ein maksudkan? Kabel elektrik ke apa?

Yang ein maksudkan ialah kabel untuk dapatkan peluang pekerjaan. Kenapa ein tiba-tiba bangkitkan isu ni? Sebab ein alami sendiri perkara ni dan rata-rata orang sekeliling ein pun cuba dapatkan kabel ni.

Pendapat mak ein, tak adil bagi orang yang tak ada kabel. Mereka terpaksa bersaing sedangkan dah nyata peluang untuk mereka yang menggunakan kabel lebih besar. Ya, memang tak adil. Ada juga keburukkannya guna kabel iaitu, mungkin tak semua orang suka kabel kita tu. Tapi disebabkan kabel kita tu berjawatan lebih tinggi, mempunyai nama, mempunyai kuasa, maka penemuduga terpaksa menerima calon temuduga itu untuk berkerja. Ya, tak adil bagi calon yang mempunyai kelulusan, pengalaman dan kriteria-kriteria yang lebih baik tapi tidak mempunyai kabel. Mungkin juga orang-orang di dalam sektor tersebut, dapat tau calon yang diterima bekerja ini menggunakan kabel besar, timbul rasa dengki, benci, meluat di hati mereka. Risikonya terpaksa calon ini hadapi sepanjang bekerja di sektor tersebut.

Ini juga merupakan salah satu ikhtiar. Tapi, bergantung pada diri. Adakah anda rasa anda layak menggunakan kabel? Adakah kelulusan anda, kriteria-kriteria yang ada pada anda melayakkan anda mendapatkan jawatan tersebut yang boleh membenarkan anda menggunakan kabel? Jujurlah pada diri sendiri. Jika anda rasa layak, cubalah gunakan kabel. Kerana kemungkinan 90% calon-calon temuduga lain menggunakan kabel. Jika 90% dari calon-calon menggunakan kabel, apa pula peluang anda yang tak menggunakan kabel? Inilah yang dikatakan berjuang untuk hidup. Tapi biarlah dengan cara yang betul.
Bagi sesetengah orang akan berfikir, orang yang menggunakan kabel, sanggup memotong rezeki orang lain. Ada yang mengatakan menggunakan kabel merupakan taktik kotor untuk mendapatkan pekerjaan. Namun, cuba difikirkan, jika tak menggunakan cara ini, peluang anda mungkin 30% saja.

Tapi, jangan sangka ein setuju menggunakan kabel. Apa yang ein nyatakan di atas sebenarnya adalah tanggapan-tanggapan orang yang berjuang dan berusaha untuk hidup dalam zaman yang penuh muslihat ini. Tak terkecuali, ein juga turut memikirkan perkara yang sama kerana ada logiknya. Sebaik saja ein dapat surat interview, rata-rata ahli keluarga ein bagi cadangan untuk berjumpa dengan kabel dan dapatkan surat sokongan. Terkadang ein sendiri rasa tersepit dan terdesak kerana ein sendiri berusaha bertungkus lumus untuk mengubah kehidupan ein, untuk hidup dan mencari rezeki.

Namun, ein masih ingat kata-kata ein pada mak bahawa ein tak mahu menggunakan kabel besar-besar. Bila rata-rata ahli keluarga menyokong menggunakan kabel, terasa goyah, goyangnya tangkai hati. Bukan mudah hendak melepasi tapisan sampai tahap dipanggil temuduga. Bukan mudah. Ein antara yang bernasib baik kerana dapat melepasi tapisan dalam tempoh tak sampai 1tahun. Sedangkan kakak sepupu yang berkelulusan ijazah masih belum melepasi tapisan untuk jawatan yang dipohon. Bukan itu saja, melihatkan calon temuduga berjumlah 180 orang dan jawatan yang kosong hanya 3, semakin goyah jiwa ein.

Ditambahkan lagi dengan mak ein yang mengharapkan ein mengubah nasib ein, ein jadi buntu. Cuma rata-rata keluarga terus menerus mengarahkan ein berjumpa dengan kabel besar tu. Kata mereka, susah jika tak guna kabel yang besar lagipun saudara sendiri tak kan nak berkira. Ya, memang, tapi ein ada pendirian ein sendiri.


“dan mungkin kamu benci akan sesuatu, sedangkan ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedangkan ia mudarat kepada mu dan Allah mengetahui, tetapi kamu tidak tahu.”
Al-Baqarah ayat 216

Di sini ein nak tekankan, sekuat mana pendirian anda, terkadang anda jadi hilang arah dan tujuan akibat desakkan orang disekeliling anda. Seperti mana seorang yang beriman di goda oleh nafsu untuk melakukan maksiat. Ein membiarkan saja apa kata mereka kerana dah penat menegakkan pendirian depan mereka. Biarlah apa mereka nak kata yang penting antara ein dengan Dia. Andai mereka buat sesuatu untuk menolong ein, ein tak boleh nak kata apa. Yang penting itu bukan kehendak ein. Hidup dalam masyarakat dan zaman ini membuatkan ein merasa tersepit dengan keadaan.

Tersebut di dalam hadis Qudsi yang berbunyi: “ Allah berfirman kepada para malaikat yang diserahi tugas mengurus rezeki-rezeki anak adam: “Sesiapapun hamba Ku yang kamu dapati dia menuju cita-cita yang satu (bertakwa menuju redha Ilahi), maka jaminlah oleh kamu rezekinya dari langit dan bumi; dan sesiapapun hamba Ku yang kamu dapati mencari rezekinya itu dengan adil, maka murnikanlah dan mudahkanlah rezeki itu baginya; dan jika ia melanggar ketentuan yang demikian dengan cara lain, biarkanlah ia berbuat sekehendak hatinya, kemudian ia pasti tidak akan dapat mencapai darjat(kadar) di atas dari apa yang telah Aku tentukan baginya!”
(Diriwayatkan oleh Abu Nu’man dari Abu Hurairah)

Mari kita lihat dari sudut lain. Sepupu ein dapatkan surat sokongan tapi sampai sekarang masih tak ada berita samada dia diterima bekerja atau tidak. Persoalan di sini yang ein nak anda fikirkan sama...di manakah kuasa surat sokongan tersebut? Dimanaka kuasa orang yang membuat surat sokongan tersebut? Kenapa setelah mendapatkan surat sokongan, masih tak dapat pekerjaan?

Jawapannya, surat sokongan hanyalah sehelai kertas, tak mempunyai kuasa apa pun. Kabel walaupun mempunyai pengaruh yang kuat, namun tetap hanya manusia biasa. Masih tak dapat pekerjaan kerana belum sampai rezeki anda. Sehelai kertas dan manusia biasa tak mampu mengubah apa-apa andai DIA tidak izinkan. Bukan kertas dan kabel yang beri anda rezeki. Mereka tak mampu memberi anda rezeki kalau DIA tidak izinkan. Kertas dan kabel hanyalah cara untuk anda berusaha, berikhtiar mendapatkan pekerjaan namun kuasa bukan ditangan kertas dan kabel. Semuanya dari ALLAH s.w.t. Jika bergantung pada kabel dan kertas saja tapi lalai pada tanggungjawab sebagai hamba, tidak memohon pertolongan dariNya, tidak ada gunanya.

Bagi sesetengah orang mungkin berfikir, kenapa mereka yang menggunakan kabel dan kertas walaupun tidak mengabdikan diri padaNya, tetap dapat apa yang mereka inginkan. Kita tak tahu apa yang Allah rancangkan untuk kita. Lihatlah saja hadis Qudsi di atas dan Allah ingin menguji setakat mana syukurnya anda pada nikmatNya. Namun, sedikit saja hambaNya yang bersyukur.

“Sesungguhnya Allah Mempunyai Kurnia untuk manusia. Tetapi kebanyakkan manusia tidak berterima kasih”
Al-Baqarah ayat 243

“Dan apabila Kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan dirinya (tidak bersyukur), tetapi apabila dia ditimpa kejahatan, dia (berdoa) dengan doa yang panjang”
As-Sajdah ayat 51

Ingatlah, Allah yang memberi anda rezeki mahupun kuasa. Anda hidup keranaNya. Malanglah bagi mereka yang menyangkakan kabel dan kertas yang memberi mereka rezeki. Malanglah bagi mereka yang mengatakan tanpa kabel dan kertas, mustahil untuk mereka dapat jawatan tersebut. Malanglah bagi mereka yang tidak meminta dariNya sewaktu senang.


“Wahai orang-orang yang beriman, minta tolonglah kamu dengan sabar dan sembahyang. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar”
Al-Baqarah ayat 153

Mungkin walaupun tidak menggunakan kabel, rezeki tetap berpihak pada anda. Mohonlah padaNya dan letakkan segenap harapan padaNya.Jika semuanya telah anda usahakan namun anda masih tak mendapat jawatan tersebut, ingatlah itu bukan rezeki anda. Bukan kerana Dia tidak mahu membantu anda tapi kerana Dia sangat kasihkan anda dan hanya Dia yang tahu apa yang terbaik bagi anda.

Tanamkan lah dalam hati bahawa Dia lah tempat anda bergantung dan Dialah yang memberi anda apa yang anda ada sekarang ini. Jangan berputus asa padaNya, jangan berburuk sangka padaNya jika Dia tidak memberikan apa yang anda inginkan. Takbir!

Wallahu’alam

P/S: Ein pun ada kabel. Tapi bukan kabel elektrik ye. Kabel yang paling besar dari kabel besar yang ada. Ketua bagi kabel-kabel besar. Itulah Allah s.w.t. Takbir!


“Supaya Allah membalasi orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia”
As-Saba’ ayat 5


No comments: