Sunday, February 17, 2008

wahai orang yang beriman, bersabarlah...

Setiap manusia pasti akan diduga sejauh mana dan sekuat mana imannya. Ujian dan dugaan itu adalah sementara saja. Tapi ia datang dalam bentuk yang berbeza. Mungkin hari ini kita diuji dengan harta. Esok kita diuji dengan keluarga. Setelah berjaya melalui ujian itu, kita mungkin diuji dengan kesihatan. Yang mana semuanya ini adalah kifarat dosa-dosa kita yang lalu.
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tidaklah menimpa seseorang mukmin (lelaki mahupun perempuan) suatu kesusahan atau penyakit atau suatu kegelisahan, walaupun sebatang duri yang menusuk kakinya, melainkan semuanya itu menjadi kiffarat dari dosa yang dilakukannya.” (HR. Muslim)
Demi, sesungguhnya akan Kami uji kamu dengan satu (ujian), iaitu ketakutan, kelaparan, dan kekurangan harta, manusia dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira orang-orang yang sabar (atas ujian itu)
(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah (malapetaka), mereka berkata: Innalillahi wainna ilaihi raaji’uun, (bahawa sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kepadaNya kita akan kembali)
Al-Baqarah, ayat 155-156
Oleh itu, setiap mukmin haruslah bersabar dan redha atas ujian yang menimpa dirinya. Ucapkanlah innalillahi wainna ilaihi raaji’uun. Berapa ramai orang mukmin pada masa ini yang lupa untuk mengucapkannya. Ramai juga yang menyangka ucapan ini hanyalah apabila mendengar berita kematian seseorang. Sebaliknya, setiap kali kita ditimpa musibah, hendaklah kita ucapkan,”sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kepadaNya kita akan kembali.” Moga dengan ini, hati kita akan menjadi teguh serta sabar. Janganlah berputus asa atau berkeluh kesah kerana tidak sanggup menahan ujian tersebut. Kerana seorang mukmin tidak akan diuji dengan sesuatu yang tidak mampu dihadapi. Serta janganlah menyalahkan nasib atau takdir yang menimpa diri umpama orang kafir.
Janganlah kamu lemah dan janganlah pula berduka cita, sedang kamu orang yang lebih tinggi jika kamu orang yang beriman
Ali-Imran, ayat 139
Sesungguhnya manusia dijadikan bersifat keluh kesah. Apabila dia ditimpa kejahatan, dia berkeluh kesah
Al-Ma’arij, ayat 19-20
Sesungguhnya tiada yang berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir
Yusuf, ayat 87
Kemudian hendaklah berusaha untuk menyelesaikan masalah, berdoa mohon petunjuk serta pertolongannya dan bertawakal kepada Allah s.w.t. Dari Allah datangnya ujian dan kepadaNya lah kita mohon pertolongan. Tidak ada pertolongan yang lebih baik melainkan pertolongan Allah s.wt serta tidak ada pendengar yang lebih baik melainkan Allah s.w.t.
Wahai orang-orang yang beriman, minta tolonglah kamu dengan sabar dan sembahyang. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
Al-Baqarah, ayat 153
Sesungguhnya orang islam yang sebenar berkerja dengan kekuatan jasmani dan rohani. Dengan ini orang-orang islam memperolehi keupayaan yang tiada tandingannya.
~DURRIYAH IZDIHAR~

No comments: