Tuesday, March 31, 2009

NABI ILYAS A.S DAN MALAIKAT

Ketika sedang berehat datanglah malaikat kepada Nabi Ilyas A.S. Malaikat itu datang untuk menjemput ruhnya. Mendengar berita itu, Ilyas menjadi sedih dan menangis.
"Mengapa engkau bersedih?" tanya malaikat maut.
"Tidak tahulah." Jawab Ilyas.
"Apakah engkau bersedih kerana akan meninggalkan dunia dan takut menghadapi maut?" tanya malaikat.
"Tidak. Tiada sesuatu yang aku sesali kecuali kerana aku menyesal tidak boleh lagi berzikir kepada Allah, sementara yang masih hidup boleh terus berzikir memuji Allah," jawab Ilyas.

Saat itu Allah lantas menurunkan wahyu kepada malaikat agar menunda pencabutan nyawa itu dan memberi kesempatan kepada Nabi Ilyas berzikir sesuai dengan permintaannya. Nabi Ilyas ingin terus hdup semata-mata kerana ingin berzikir kepada Allah. Maka berzikirlah Nabi Ilyas sepanjang hidupnya.
"Biarlah dia hidup di taman untuk berbisik dan mengadu serta berzikir kepada-Ku sampai akhir nanti." Kata Allah.

Wednesday, March 25, 2009

Janganlah Menghina, Mengejek, Mengajuk...


Dah lama sebenarnya nak menulis tentang isu Idzu Saujana yang heboh sangat diperkatakan tu.
Macam-macam komen jugak yang ein baca dekat youtube.
Ein bukan nak menyokong dia. Nauzubillah ein tak nak subahat.
Cuma ein tak berapa setuju dengan berita yang dibesar-besarkan mengatakan dia jadi maknyah.
Please lah. Tak kan tak reti bezakan maknyah.
Ke tak pernah jumpa dan tengok maknyah? Ein tak mahu mengecam golongan ini.
Dorang manusia jugak.
Ada segelintir dari dorang yang bukan nak hidup macam tu.
Dorang nak hidup normal. Tapi tak ada yang bantu. Ada segelintir yang memang suka hidup macam tu.
So, sape kite untuk menilai dorang?
Diri sendiri pun kite tak boleh nak menilai. Yang hanya boleh menilai cuma Allah Yang Esa.

Kun fayakun.
Allah kata jadi, maka jadilah.
Sama jugak dengan orang yang buat jahat. Walaupun dalam hatinya dia nak berubah.
Tapi Allah belum buka kan jalan, dia tetap macam tu.

Balik pada cerita ein.
Izu memang ada sikit sikap lembutnya dulu.
Mungkin sikap tu tak dapat dikikis, jadi dia macam tu.
But, still, bukan maknyah. Nape mesti nak hukum dia sampai macam tu?
Tak kena dekat korang, boleh lah korang cakap macam tu.
Kalau kena kat korang, ape perasaan korang?

Dia tetap manusia biasa. Sama macam kita.
Tak lari dari buat salah, buat dosa.
Apa salahnya korang doakan dia dari duk menghina, mengata, mengkeji, mengejek dia?
Orang yang buat macam tu sebenarnya lebih teruk dari dia tau.
Dan orang yang gelak bila korang menghina, mengata, mengkeji, mengejek dia pun sama teruk.
Sepatutnya orang yang gelak tu menasihatkan orang yang mengejek tu.
Bukan sama jalan dengan orang tu.
Mana pergi akal fikiran orang-orang yang sanggup buat macam tu sesama manusia?

Waktu dulu-dulu, pernah tak korang kene ejek?
Apa perasaan korang bila kena macam tu?
Sekarang korang buat pulak kat orang lain.

Ein agak emo bukan sebab ein peminat Saujana.
Tapi ein sebagai seorang manusia yang ada perasaan dan hati perut.
Di asuh dan di ajar untuk tak menghina orang-orang golongan macam ni.

Korang tak pernah ke tengok cerita Sutun 1 dan 2?
Memang geli. Tapi bukan dorang nak jadi macam tu.
Jaga2lah sikit diri korang tu.
Jangan sebab sikap korang, Allah kurniakan keturunan macam tu.
Nauzubillah...
Sedar lah korang.
Korang pun bukan sempurna sangat.

Dan jangan jugak menghina dan mengejek ein sebab tulis macam ni.
Ein cume nak korang sedar yang hari tak sentiasa cerah.

Buat Izu, Moga Allah bimbing dia kembali pada fitrahnya.
Wallahu'alam

Monday, March 23, 2009

BuNGa KeBaHaGiaaN



Bunga Kebahagiaan

"...anugerah sekebun bunga dari taman
iman; inilah kebahagiaan sebenar"

TUAN GURU DATO'
NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
& HASMARIZA MD HASHIM

Berkasih sayang dalam rumahtangga adalah fitrah
manusia. Suami isteri, anak-anak dan siapa saja
hatta haiwan sekalipun sangan mengingininya.
Tetapi adakah ianya berlaku dalam kehidupan kita
seharian? Runtuhnya moral masyarakat Islam hari
ini bermula di sini. Oleh itu rasa kasih sayang perlu
ditekankan setiap hari, setiap waktu berterusan dan
menjadi perkara yang melekat di hati kita. Manusia,
secara fitrahnya inginkan kebahagiaan,
ketenangan, kerehatan dan segala macam kesempurnaan
mengiringi kehidupannya.

Marilah kita menilik buku tuan guru ini, agar
berbisik dihati kita untuk maju beramal, kekal
dalam nikmat kebahagiaan.

Buku ini merupakan buku terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd.
Terdapat sebanyak 22 Bab meliputi persoalan kenapa perlu berkahwin, peranan isteri, peranan suami, didikan anak-anak, kisah-kisah teladan.
Pendekatan yang mudah difahami, ringkas tapi padat.


Thursday, March 19, 2009

Sempatkah mata menatap cucu? (glaucoma)


Lagi ein ambil dari akhbar Utusan.
Website international banyak
Tapi tak ramai yang boleh faham kalau baca pun
Ein pun amik masa jugak nak faham apa maksudnya.
Bahasa perubatan, susah nak faham. Ehe

Sempatkah mata menatap cucu?

PENGLIHATAN dan kesihatan mata! Bagi kebanyakan daripada kita, kesihatan mata sering kali diambil remeh sedangkan menjadi buta diperakui ramai sesuatu yang lebih menggerunkan daripada mati muda.

Sempena Hari Glaukoma Sedunia pada 12 Mac ini, maklumat penyakit mata ini akan cuba diketengahkan untuk meningkatkan pemahaman tentang risiko dan juga pencegahannya.

Mungkin ramai yang tidak tahu apa itu glaukoma, tetapi secara ringkasnya ia boleh menyebabkan seseorang menjadi buta tanpa sebarang tanda awal.

Ini bermakna mereka yang menghidap glaukoma boleh menjadi buta tanpa disedari, dan mungkin hilang segala keupayaan melihat wajah-wajah orang tersayang.

Mengenali glaukoma

Semua penyakit sistemik akan memberi kesan kepada mata, termasuklah kanser yang mudah merebak ke mata memandangkan kelajuan aliran darah yang tinggi di dalam mata.

Glaukoma melibatkan sekumpulan penyakit atau masalah mata yang menyebabkan kerosakan khusus kepada saraf optik dan seterusnya menjejaskan penglihatan.

Saraf optik umpama jambatan yang menyampaikan maklumat dari mata ke otak untuk diproses sebagai imej penglihatan.

Pengerusi Persatuan Oftalmologi, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Profesor Dr. Muhaya Mohamad menegaskan, oleh kerana saraf tidak dapat tumbuh kembali, sebarang kerosakan saraf optik juga kekal dan tidak dapat dipulihkan.

"Hampir tiada langsung simptom awal untuk glaukoma yang menyebabkan kerosakan kekal kepada saraf optik.

"Penglihatan yang terjejas tidak dapat dipulihkan lagi tetapi kemerosotan penglihatan dapat diperlahankan jika dikesan awal," jelasnya.

Menurut beliau, glaukoma mungkin melibatkan masalah peningkatan tekanan dalam mata, seperti mana kesan tekanan darah tinggi kepada salur darah, jantung dan buah pinggang.

Tambahnya, glaukoma berlaku secara senyap, perlahan dan berperingkat sedangkan kesannya adalah kekal dan tidak boleh dipulihkan kembali.

Walaupun kurang berkaitan dengan pemakanan, penyakit ini tetap berkait rapat dengan faktor persekitaran seperti kesan kepada radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan sel.

Walaupun belum dibuktikan sepenuhnya kaitan radikal bebas terhadap badan, sebarang bentuk tekanan tambahan kepada badan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang kronik.

Glaukoma akan mula menjejaskan penglihatan periferal (sisi) pesakit, menyebabkan hanya sudut pandangan terowong (hadapan) sahaja yang jelas.

Faktor risiko yang dikaitkan dengan penyakit ini termasuk peningkatan usia, tekanan tinggi dalam mata (IOP), sejarah keluarga dengan glaukoma, berketurunan Afrika atau Cina, dan miopia (rabun jauh).

Kesedaran umum dan pencegahan melalui pengesanan awal amat penting memandangkan glaukoma hanya boleh dikesan melalui pemeriksaan rapi mata.

Jika dikesan awal, tambahan kerosakan saraf optik dapat dicegah atau dilengahkan, mengekalkan tahap penglihatan yang tinggal dan seterusnya mengelakkan daripada menjadi menjadi buta.

Dr. Muhaya menyatakan, dari pengalaman beliau, lebih banyak pesakit Cina dan Melayu yang dirawat untuk masalah glaukoma di negara ini.

"Mata yang kecil meningkatkan risiko glaukoma. Glaukoma dan retinopati diabetik pula merupakan dua punca kebutaan utama yang boleh dicegah.

"Retinopati diabetik boleh dirawat tetapi tahap penglihatan asal tidak dapat dipulihkan. Glaukoma bagaimanapun tidak dapat dipulihkan lagi jika pesakit sudah buta," tegasnya.

Beliau menjelaskan, seperti penyakit kronik lain, mereka yang dikesan menghidap glaukoma juga perlu menjalani rawatan seumur hidup.

Mengesan dan mencegah

Dr. Muhaya menegaskan mungkin terdapat ramai individu yang tidak menyedari mereka menghidap glaukoma kerana penyakit ini hampir tiada simptom awal yang jelas.

"Kerosakan saraf optik akan berterusan, sehingga menjadi buta jika glaukoma tidak dikesan dan dirawat segera.

"Oleh itu, adalah amat penting untuk orang ramai memahami faktor risiko penyakit ini supaya ia dapat dikesan pada peringkat awal," katanya.

Beliau menekankan pengesanan dan rawatan awal juga dapat meningkatkan kebarangkalian mengekalkan deria penglihatan sehingga penghujung hayat, sekurang-kurang supaya sempat melihat anak dan cucu.

Dari segi rawatan, glaukoma kini dirawat menggunakan titisan mata ataupun pembedahan jika titisan mata gagal mengurangkan tekanan dalam mata.

Bagaimanapun, sasaran rawatan glaukoma adalah mengurang atau melengahkan kerosakan saraf optik, mengekalkan medan penglihatan pesakit dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Tinjauan serantau

Tinjauan All Eyes On Glaucoma Pfizer dijalankan baru-baru ini untuk individu melebihi umur 40 tahun di Malaysia, China, Taiwan, Hong Kong, India, Filipina, Korea, Singapura dan Thailand. Tinjauan serupa juga pernah dijalankan di Amerika Syarikat dan Eropah sebelum ini.

Selain untuk memahami tahap kesedaran, pemahaman dan pandangan mengenai kesihatan mata di kalangan penduduk Asia berumur 40 hingga 70 tahun, tinjauan ini juga diadakan bagi meningkatkan kesedaran tentang glaukoma dan keperluan golongan terbabit mengambil langkah pencegahan untuk menjaga kesihatan mata.

Secara puratanya, tidak sampai separuh penduduk rantau ini yang tahu mengenai glaukoma dengan purata 57 peratus tidak mengetahui apa itu glaukoma atau salah faham ianya sesuatu yang tidak melibatkan mata.

Penasihat Perubatan Kanan Pfizer Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr. Vicknesh Wellupillai yang membentangkan hasil tinjauan tersebut memaklumkan bahawa catatan menunjukkan tahap kesedaran glaukoma di Malaysia adalah yang paling rendah.

"Hanya 21 peratus rakyat negara ini mengetahui apa itu glaukoma, berbanding 66 peratus di Korea (tertinggi di Asia).

"Sembilan peratus lagi warga Malaysia salah faham glaukoma melibatkan masalah pendengaran, tekanan darah tinggi atau pendarahan dalaman, sementara 70 peratus langsung tidak tahu mengenai penyakit tersebut," katanya.

Ini menunjukkan hanya seorang dari setiap lima rakyat Malaysia pernah dengar dan betul-betul tahu bahawa glaukoma boleh menyebabkan kebutaan.

Bagaimanapun, peratusan serantau menunjukkan masih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk di rantau Asia, terutamanya di Taiwan, Singapura, India dan Malaysia yang mencatatkan tahap kesedaran glaukoma paling rendah.

Dr. Vicknesh menjelaskan tinjauan itu turut menunjukkan 45 peratus responden dari Malaysia mempunyai risiko lebih tinggi menghidap glaukoma (rabun jauh, kecederaan atau masalah mata, tekanan darah tinggi) sedangkan 68 peratus daripada jumlah tersebut tidak mengetahui apa-apa mengenai glaukoma.

"Dua pertiga (67 peratus) rakyat Malaysia juga didapati lebih takut menjadi buta daripada mati muda.

"Ini dikaitkan mereka dengan kesukaran bekerja (68 peratus), memandu (48 peratus) atau keluar dari rumah (44 peratus) jika menjadi buta," jelasnya.

Doktor mata

Selain tahap kesedaran glaukoma yang rendah di rantau ini, tinjauan berkenaan turut menunjukkan rakyat Malaysia dan Singapura merupakan yang paling sukar bertemu doktor mata.

Dr. Vicknesh mendedahkan 87 peratus rakyat Malaysia tidak bertemu doktor mata sejak setahun lalu dan hanya 26 peratus yang pernah menjalani pemeriksaan tahap tekanan dalam mata (IOP).

"Tahap kesedaran glaukoma jelas rendah dengan hanya 39 peratus rakyat negara ini menjalani pemeriksaan mata yang kerap sementara sebahagian besar memikirkan ia bukan sesuatu yang perlu.

"Sebahagian besar golongan berumur lebih 40 tahun ini juga sedar tentang kepentingan memeriksa tekanan darah tetapi tidak untuk IOP," ujarnya.

Di samping itu, hanya 42 peratus daripada golongan yang berisiko menghidap glaukoma telah menjalani pemeriksaan IOP berbanding 85 peratus telah menjalani pemeriksaan tekanan darah.

Dr. Vicknesh menambah, tahap kesedaran di kalangan doktor keluarga juga perlu ditingkatkan kerana mereka didapati kurang merujuk kes pesakit kepada doktor mata. Cuma 33 peratus responden Malaysia pernah dirujuk doktor keluarga kepada doktor mata.

Lebih banyak pendedahan dan pendidikan tentang glaukoma, terutamanya di kalangan melebihi umur 40 tahun, perlu dijalankan supaya tahap kesihatan mata dan deria penglihatan penduduk Malaysia dan rantau Asia tidak terjejas.

Kerjasama semua pihak berwajib, berkelayakan dan berkemampuan amat perlu dalam menggalakkan pencegahan glaukoma melalui pemeriksaan rapi dan IOP mata, termasuklah di kalangan doktor keluarga bagi memastikan rujukan pesakit kepada pakar bersesuaian.

Namun, penekanan kepada kesedaran glaukoma turut mementingkan kesihatan umum mata dan deria penglihatan.

Orang ramai perlu mementingkan kesihatan mata setaraf dengan masalah kesihatan lain seperti diabetes, masalah kardiovaskular, sendi, sistem peranakan mahupun sistem penghadaman.

Penglihatan sebagai satu daripada lima deria utama memberi kesan besar kepada kehidupan harian.

Fikirkan sendiri sejauh mana anda dapat menyesuaikan diri menjalani kehidupan tanpa salah satu deria utama ini.

Janganlah disia-siakan anugerah penglihatan yang tidak dinikmati sesetengah warga Malaysia lain, sedangkan penyakit seperti glaukoma dapat dibendung dan dikawal jika dikesan dari peringkat awal.

Bersama kita memastikan glaukoma dan mana-mana penyakit mata tidak lagi meragut penglihatan warga Malaysia, sebelum tiba hujung hayatnya

Sekali lagi ein nasihatkan, pergilah jumpa doktor mata.
Kadang2 rasa sakit keliling mata tu, jangan amik ringan.
Ok.

Tuesday, March 17, 2009

Glukoma tiada penawar





Hari Sabtu lepas, ein tengah mengemas bilik.
Tetiba dapat message dari raz tak ingat secara detail.
Tapi yang paling ein ingat, raz bagitau tentang glaucoma dan kata ada keluar dekat Berita Harian.
Yang mengatakan glaucoma tidak ada rawatan.
Kebetulan juga, selasa lepas dekat Malaysia Hari Ini, Doktor Pakar mata tu ada cakap,
darah tinggi juga punca glaucoma.
1st time ein dengar. Sebab selama ein under appoinment ni, ein banyak buat research dekat internet.
Dan tak ada pun yang mengaitkan darah tinggi punca glaucoma.
Then, ein mula faham, kenapa ein boleh dapat glaucoma ni. (tp ein tak ada masalah tekanan darah tinggi atau rendah tau).
Habis mengemas, ein pun bukak website BH.
Dan inilah artikelnya...

Glukoma tiada penawar

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my


Rawatan diberi hanya titisan ubat mata yang perlu digunakan sepanjang hayat bertujuan mengelak kebutaan

KEBANYAKAN faktor penyakit sering dikaitkan dengan sejarah kesihatan keluarga. Bagaimanapun, di negara ini dan di kebanyakan negara Asia, sejarah perubatan keluarga ada kalanya tidak lengkap.

Sejarah perubatan mengenai masalah mata misalnya, jarang diberi perhatian apabila ramai yang tidak tahu mereka berisiko diserang glukoma kerana tiada anggota keluarga sebelum ini mendapat rawatan.

Berbeza dengan katarak, glukoma adalah penyakit yang diwarisi dan boleh terjadi kepada mereka yang mengalami trauma pada mata. Paling utama, tiada ubat untuk glukoma dan ia boleh menyebabkan buta.

Glukoma penyakit yang progresif. Biasanya seseorang itu hanya menyedari mengalaminya selepas penyakit itu pada tahap akhir. Pada waktu itu, tidak banyak yang boleh dibantu kerana saraf matanya sudah rosak dan tidak boleh dipulihkan.

Jika katarak boleh sembuh dengan pembedahan, tetapi tidak pada glukoma. Glukoma hanya boleh dirawat tetapi tidak akan sembuh. Walaupun pembedahan boleh dilakukan tetapi ia tidak banyak membantu.



Pakar Runding Optalmologi, Pusat Pakar Mata Vista, Dr Shamala Ganesan, berkata ramai orang tidak menyedari mereka berhadapan dengan glukoma.

“Glukoma selalu dirujuk sebagai pencuri senyap kerana kerap kalinya tekanan di dalam mata menjejaskan penglihatan tanpa simptom yang jelas. Glukoma bukan satu entiti penyakit tetapi sekumpulan masalah mata yang secara perlahan-lahan menjejaskan penglihatan.

“Akhirnya, tanpa rawatan, glukoma boleh menyebabkan buta berikutan kerosakan pada saraf optik,” katanya.

Dr Shamalam berkata, glukoma menyebabkan saraf optik di belakang mata rosak perlahan-lahan. Bagi kebanyakan orang, peningkatan tekanan dalam mata menjadi punca dan menyebabkan sekatan pada pusingan cecair (aqueous) dalam mata.
Bagi pesakit lain pula, kerosakan itu mungkin berpunca daripada kekurangan bekalan darah kepada saraf fiber optik utama, kelemahan pada struktur saraf atau masalah pada saraf fiber itu sendiri.

Mengikut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 4.5 juta orang di seluruh dunia menjadi buta disebabkan glukoma dan angka ini dijangka meningkat kepada 11.2 juta pada 2020.

Namun, angka ini disifatkan sebagai tidak tepat kerana di seluruh pelusuk dunia, terutama di negara miskin, tidak ramai yang tahu dan tampil untuk membuat pemeriksaan mata atau menerima rawatan untuk glukoma.

Dianggarkan 60.5 juta orang akan mengalami glukoma pada 2010, dengan jumlah warga tua yang meningkat. Glukoma dijangka menyerang 80 juta orang pada 2020.

Dr Shamala berkata, glukoma progres sifatnya, hampir 50 peratus mereka yang didiagnos dengan glukoma tidak pernah menyedari simptom yang dialami. Biasanya, glukoma dikesan pada usia 50 tahun ke atas.

Di Malaysia, glukoma yang paling biasa adalah jenis glukoma terbuka. Glukoma jenis ini dikaitkan dengan peningkatan tekanan cecair di dalam mata. Ia mungkin menyebabkan kerosakan pada saraf optik dan akhirnya buta.

Setakat ini, tiada ubat untuk glukoma tetapi pemeriksaan awal terutama bagi mereka yang lahir dalam keluarga yang mengalami glukoma boleh dilakukan pada usia 30 tahun ke atas.

Oleh kerana tiada ubat menyembuhkannya, rawatan yang diberi hanyalah titisan ubat mata yang perlu digunakan sepanjang hayat. Ia bertujuan mengelak kebutaan. Namun, prekripsi ubat-ubatan banyak bergantung pada keadaan pesakit itu.

Jenis-jenis glukoma:
• Glukoma utama
o Glukoma sempit (narrow angle glaucoma)
o Glukoma terbuka (primary open angle glukoma - POAG
o Glukoma tekanan normal (normal pressure glaucoma)

• Glukoma sekunder
o Glukoma pseudoexfoliative (glukoma yang disebabkan sindrom gangguan berkaitan penuaan)
o Glukoma pigmentary (glukoma yang disebabkan pengumpulan pigmen iris berlebihan)
o Glukoma yang disebabkan trauma
o Glukoma neovaskular (berikutan komplikasi masalah diabetes misalnya)
o Glukoma konjenital (di kalangan bayi dan dikesan sejak lahir)


Siapa yang berisiko alami glukoma
• Mereka yang berusia 50 tahun ke atas
• Sejarah keluarga dengan glukoma
• Merokok
• Trauma pada mata
• Mereka yang menderitai diabetes, tekanan darah tinggi
• Rabun jauh

• Simptom:
• Glukoma terbuka
o Lihat penglihatan perlahan-lahan (peripheral) selalunya membabitkan kedu*a-dua mata
o Penglihatan sehala seakan terowong pada tahap yang teruk (tunnel vision)

• Glukoma sempit
o Sakit mata yang serius
o Muntah dan pening diikuti dengan sakit mata
o Penglihatan kabur
o Mata merah

Seingat ein, pernah ein terbaca yang glaucoma tak boleh sembuh.
Cuma boleh di cegah dari berkembang.
Dan dekat MHI tu Doc tu kata, no big deal.
Jangan risau sebab glaucoma ada ubat. Senang je. Pembedahan pun ada.
Then dapat lak artikel ni.
Walaupun ein tak mengharap, namun sedikit sebanyak buat ein rasa tertekan jugak.
Dan ein pun mula sarankan dekat sedara mara untuk pergi cek mata.
Tak tau lah dorang pergi tak.

So, korang yang baca ni, pergilah cek mata.
Yang keturunan ada diabetis dan darah tinggi, walaupun tak ada keturunan glaucoma,
do visit your doctor.
Sape yang selalu rasa tertekan, dapat tekanan dan rasa sakit kepala akibat tekanan, rasa cam pening2 sebab oksigen tak sampai ke otak, do visit your doctor.

Sini ein bagitau cara nak bezakan sakit kepala sebab tekanan, mata dan migraine.
Migraine sakit pada sebelah kepala dan kadang2 bawak ke sebelah yang lain.
Sakitnye berdenyut pada satu bahagian saja.

Sakit kepala sebab tekanan, rasa otot dekat dahi macam menegang. Rasa tekanan dekat bahagian tu.

Sakit kepala sebab mata pun dekat dahi. Cuma tekanannya kurang sikit.
Sakitnya antara atas kening bawak ke mata.
Kadang2bukan sakit kepala. Tapi macam pening2 nak pitam.
Macam orang kena tekanan darah rendah.

Mereka yang mengalami tekanan biasa nya akan rasa pening2 atau sakit kepala sebab darah tersekat dan tak mengalir dengan baik ke otak.
Dan ni menyebabkan salur darah pada mata pun tersekat atau tersumbat.
Itu antara punca glaucoma.
Do your eye exam. Glaucoma bukan mudah dikesan.
Cuma boleh dikesan bila tekanan dalam mata bukan di paras normal.
Dan glaucoma ni sangat2 progresif.
Tau2nanti, dah hilang sebahagian penglihatan.
So, janganlah amik ringan.
Ok.
Itu nasihat ein.
Moga Allah merahmati anda
Ameen


Friday, March 13, 2009

KISAH MALAIKAT JIBRIL DAN MALAIKAT MIKAIL MENANGIS



Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa iblis itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah S.W.T telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah."

Lalu Allah S.W.T berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki." Oleh kerana iblis memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam A.S kerana bangga dan sombong.

Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

Kemudian Allah S.W.T merubahkan mukanya pada asalnya yang sangat indah cemerlangan kepada bentuk seperti babi hutan. Allah S.W.T membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu, lalu Allah mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah S.W.T melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir. Walaupun iblis itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap emapt, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya, dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika Allah S.W.T membalas tipu daya iblis, maka menangislah Jibril A.S dan Mikail. Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?" Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu."

Firman Allah bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku."

Setelah diusir, maka iblis pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum."

Berkata lagi iblis, "Tambahkanlah lagi untukku." Allah berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya."

Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Lalu Allah berfirman dengan maksud, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah."
Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Maka Allah berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dan berserikatlah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam haram."

"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka." (Hal ini ada disebutkan dalamsurah al-Isra ayat 64 yang bermaksud : "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."


Monday, March 9, 2009

SEJARAH MAULIDUR RASUL II



HUKUM MAULID

Seperti yang telah diketahui, perayaan Maulidur Rasul ini merupakan satu perayaan yang kontroversi. Ulama’ berbeza pendapat akan kebolehan perayaan ini. Kita sebagai masyarakat awam tersepit antara dua pendapat. Yang mana perlu kita turuti. Sedangkan kedua-dua belah pihak terdiri daripada ulama’-ulama’ yang hebat dan tidak boleh ditolak lagi akan kewibawaan mereka. Di dalam artikel ini, akan dilampirkan kedua-dua belah hujah setakat mana yang mampu dikumpulkan. Melalui cara ini, kita dapat menilai sendiri yang manakah mempunyai hujah yang kuat. Dan insya Allah, kita akan berada di jalan yang benar.

HUJAH MEMBOLEHKAN MAULIDUR RASUL

Antara ulama’ yang menyokong akan Maulidur Rasul ialah Imam Jalaluddin Sayuti dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan.
Telah berkata Imam Jalaluddin Sayuti:
"Ibadat macam itu adalah bid'ah Hasanah (bid'ah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia".

Dan berkata Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan:
Telah berlaku kebiasaan bahawa orang apabila mendengar kisah Nabi dilahirkan, maka ketika Nabi lahir itu mereka berdiri bersama-sama untuk menghormati dan membesarkan Nabi Muhammad saw. Berdiri itu adalah hal yang mustahsan (bai) kerana dasarnya ialah membesarkan Nabi Muhammad saw dan sesungguhnya telah mengerjakan hal serupa itu banyak dari ulama-ulama ikutan umat.

Berkata pula Syeikh Atiah Saqr:
Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk menyambut maulid. Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa dengan agama dan kemuliannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah dicemari oleh perkara-perkara haram dan bid’ah. Seperti pergaulan antara lelaki dan wanita tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini sebagai satu tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat jika sesuatu acara tidak dilansungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan melanggar syariat.

Syeikh Yusuf Qardawi juga telah memberi komen mengenai maulid ini.
Beliau berkata(ringkasan):
Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah saw tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah saw. Ini adalah kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah saw dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah saw itu kekal di dalam hati dan juga ingatan. Sa’d Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah saw kepada kanak-kanak sama sepertimana keghairahan mereka mendidik anak-anak itu Al-Quran. Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah saw, maka tidak perlulah mereka merayakan sepertimana dirayakan Maulid ar-Rasul kini.

Walaubagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya. Dengan itu, perayaan Maulid Rasul ini diadakan bertujuan untuk mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah saw masih hidup. Tetapi malangnya, Maulid Rasul ini telah bercampur dengan amalan bid’ah yang ditentang oleh Islam. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam.

Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bid’ah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam.

Berikut adalah antara dalil-dalil yang menjadi hujah bagi yang membolehkan Maulid ini:
1) Allah berfirman:
’maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) mereka itulah yang beruntung.’ - Al-Araf: 157

Keterangan:

Tujuan maulud diadakan adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad saw. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.

2) Firman Allah:
’Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah’ - Ibrahim. Ayat 5

Keterangan:

Al-Baihaqi di dalam ’Syakbu al-Iman’ daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi saw, sesungguhnya baginda menafsirkan ’hari-hari Allah’ ialah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani menjelaskan lagi dengan katanya ’kelahiran Nabi saw merupakan nikmat yang paling besar.’

3) Bahawasanya Nabi Muhammad saw datang ke Madinah maka beliau mendapati orang-orang yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: ’Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?’
Jawab mereka: ’Ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Firaun dan pada hari serupa itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan.’ Maka Nabi berkata: ’Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu.’ [Riwayat Bukhari dan Muslim.]

Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata bahawa dari hadis ini dapat dipetik hukum:

- Umat Islam dibolehkan bahkan dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari maulud, mi’raj dan lain-lain.

- Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa Asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.

4) Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.) telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda: ’Di hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku diutuskan.’

Keterangan:

Rasul saw menegaskan kelebihan hari kelahirannya berbanding hari-hari lain. Oleh itu setiap mukmin sewajarnya berlumba-lumba beramal dan bersyukur dengan kelahiran baginda saw yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

HUJAH MENENTANG MAULIDUR RASUL

Berikut antara pendapat yang menentang bersertakan hujah mereka:

1)Nabi Muhammad saw tidak pernah merayakan atau menyuruh umatnya untuk merayakan hari kelahirannya. Nabi saw telah menekankan agar jangan memperbesarkannya sepertimana orang kristian memperbesarkan Nabi Isa as. Ini dijelaskan di dalam hadis riwayat Bukhari:

Baginda bersabda, ’Jangan memperbesarkan mengenai aku seperti Kristian memperbesarkan mengenai anak Maryam. Aku hanyalah hamba, jadi katakanlah, ’hamba Allah dan pesuruh Nya.’ (Au Qoma Qol)

Apa yang telah disuruh Rasulullah saw hanyalah menyuruh umatnya menjadikan hari kelahirannya satu hari untuk beribadat yang mana berbeza dengan perayaan. Bertepatanlah dengan hadis di bawah:

Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.) telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda: ’Di hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku diutuskan.’

’Dan hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diada-adakan , kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah , dan setiap bid’ah itu adalah sesat ’. [Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud]

2)Para sahabat Rasulullah dan juga umat Rasulullah saw pada 3 abad kemudian tidak pernah merayakannya walaupun merekalah orang yang lebih mencintai Rasulullah saw lebih dari umat terkemudian..

Hadis Imran bin Husain r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya yang terbaik dari kalangan kamu ialah sezaman denganku, kemudian orang yang hidup selepas zaman aku, setelah itu orang yang hidup selepas mereka. Imran berkata: Aku tidak mengetahui kenapakah Rasulullah s.a.w menyebut selepas kurunnya sebanyak dua atau tiga kali. Selepas itu datang satu kaum yang di minta memberi penyaksian tetapi tidak di beri penyaksian, yang berkhianat sehingga tidak boleh dipercayai, yang suka bernazar tetapi tidak melaksanakannya dan sukakan kemewahan. Perayaan Maulid Nabi datang beberapa abad kemudian yang mana ciri-ciri Agama Islam yang sebenar sudah hilang dan bid’ah berleluasa.

3)Allah berfirman di dalam Al-Quran:

Katakanlah, "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "

Katakanlah, "Taatilah Allah dan Rasul-Nya; Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir". (QS.3 :31-32)

Ayat di atas menerangkan cara menunjukkan kasih sayang yang sebenar yang patut dilakukan kepada Rasulullah saw. Ayat yang pertama di atas menjelaskan bahawa cinta itu hanyalah pengakuan, tetapi buktinya ialah menuruti apa yang Rasulullah saw bawakan. Manakala ayat kedua menekankan kepentingan dalam menuruti kehendak Allah dan Rasul Nya. Allah menyudahi ayat di atas dengan ancaman yang keras bahawa sesiapa yang tidak mahu mentaati adalah kafir dan Allah tidak mencintai orang kafir.

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agamamu. (QS.5 :3)
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (QS.33 :21)

4)Kata-kata sahabat Rasulullah saw:

Huzaufah Ibnu Al-Yamaan ra berkata : "Setiap ibadah yg tidak dilakukan oleh sahabat Rasulullah saw, maka janganlah melakukannya"

Dan berkata Ibnu Mas'ud :"Ikutlah (sunnah) dan jangan menambah, dan telah cukup bagi kamu - perbuatan yg lama (kekal dengan cara lama)"


Friday, March 6, 2009

SEJARAH SAMBUTAN MAULIDUR RASUL I



Perayaan Maulidur rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir. Kerajaan Fatimah telah merayakan perayaan ini secara besar-besaran. Bukan hanya hari jadi Rasulullah saw sahaja yang dirayakan, tetapi juga ahli keluarga Nabi saw seperti Zainab, Hassan, Hussain (r.a.). juga dirayakan. Bahkan mereka juga merayakan kelahiran Nabi Isa as.

Walaubagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 atas perintah Perdana Menteri al-Afdal Shahindah pada ketika itu yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer. Masyarakat berhenti merayakannya sehingga Al-Ma’moon Al-Bataa’ni memegang kuasa kerajaan. Beliau telah yang memulakan kembali perayaan yang telah dihentikan sebelum itu.

Apabila Kerajaan al-Ayubbiah merampas kuasa, semua perayaan telah dihentikan. Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya dikalangan keluarga mereka di dalam rumah. Pada Abad ke7 , Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa’d Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen `Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil. Beliau merupakan seorang sunni. Muzafar mengambil berat akan perayaan ini sehingga memerintahkan agar persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin. Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan ini di dalam khemah yang telah didirikan itu.

Perayaan diadakan pada 8 Rabiulawal dan kadang-kadang 12 Rabiulawal. Sambutannya diisikan dengan pelbagai acara antaranya membaca sejarah Nabi (s.a.w.) sehinggalah kepada menghias binatang ternakan untuk disembelih kemudian diadakan jamuan besar-besaran.

Berkata Ibnu Haajj Abu Abdullah Al-Abdari, perayaan tersebut tersebar luas di seluruh Mesir pada zaman pemerintahan Putera Muzafar ini. Beliau menentang akan perayaan yang diadakan. Banyak buku telah ditulis mengenai perayan Maulidur Rasul ini antara penulisnya ialah Ibn Dahya, meninggal dunia pada633 , Muhy Ed-Deen Ibn Al-`Arabi, meninggal di Damascus pada683 , Ibn Taghrabik, meninggal di Mesir pada670 , dan Ahmad Al-`Azli dan anaknya Muhammad, meninggal di Sebata pada670 .

Oleh kerana amalan bid’ah yang banyak ketika perayaan itu, ulama’ telah berbeza pendapat akan kebolehan merayakan Maulid Nabi ini. Pendapat pertama membolehkan perayaan ini manakala pendapat yang kedua mengatakan sebaliknya. Antara yang membolehkan ialah As-Siyooti, Ibn Hajar Al-`Asqalaani dan Ibn Hajar Al-Haythmi. Walaupun mereka bersetuju dengan perayaan ini, mereka tetap membangkang aturcara ketika Maulid itu(pada zamannya).